Proton Untung RM59 Juta
by admin ~ August 28th, 2008KUALA LUMPUR 27 Ogos - Proton Holdings Bhd. (Proton) mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM58.7 juta pada suku pertama bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2008 berbanding kerugian RM46.8 juta yang dicatatkan bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Keuntungan yang diperoleh itu adalah hasil jualan kukuh melalui model utamanya, Persona dan Saga.
Menurut Proton, keuntungan itu merupakan empat suku secara berturut-turut oleh pembuat kereta nasional itu, sekali gus mengukuhkan strateginya untuk mengembalikan kedudukan Proton sebagai peneraju dalam pasaran automotif domestik.
Katanya, keputusan itu mencerminkan pengukuhan pendapatan sebanyak RM1.7 bilion berbanding RM1.14 bilion yang diperoleh dalam tempoh tersebut pada 2007.
Jumlah jualan yang dicatatkan pada tempoh itu tahun ini ialah 39,888 unit berbanding 28,145 unit tahun lalu.
Proton berkata, keuntungan bersih selepas cukai juga melonjak kepada RM52.03 juta berbanding kerugian bersih RM46.75 juta sebelum ini.
Pengerusi Proton, Datuk Mohammed Azlan Hashim berkata, keputusan prestasi kewangan itu menunjukkan keupayaan pemulihan Proton dalam pasaran automotif yang kompetitif dan membuktikan strateginya untuk menjual kereta yang betul pada harga dan masa yang tepat, telah berjaya.
”Bagaimanapun, pencapaian ini adalah mustahil tanpa dedikasi daripada pengurusan Proton dan kakitangan serta sokongan berterusan daripada vendor, pelanggan dan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, Persona dan Saga yang dilancarkan enam bulan lalu telah menerima sambutan baik di kalangan orang ramai.
”Proton kini hanya dikekang oleh kapasiti untuk mengeluarkan kereta yang cukup bagi memenuhi permintaan yang banyak, namun pelbagai usaha dijalankan untuk meningkatkan kapasiti supaya ia boleh mengurangkan tempoh menunggu,” katanya.
Sehingga Julai 2008, Proton menguasai pasaran sebanyak 33.8 peratus daripada sejumlah 86,388 yang berdaftar di dalam negara.
Proton berkata, ekoran maklum balas positif daripada model Saga dan Persona, syarikat itu akan memperkenalkan model kenderaan pelbagai guna (MPV) pada suku keempat tahun kewangan syarikat itu.
Utusan Malaysia